Friday, 9 October 2020

ZIKIR INFRADI

Beramal dengan Asma'ul Husna (Zikir Infradi)

Firmanullah : "Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang yang berpaling daripada kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan." (Surah Al A'raf, ayat 180)

Allah SWT mengingatkan kita supaya berdoa kepadaNya menggunakan Asma'ul Husna kerana Dia menginginkan makhlukNya sentiasa mengingatiNya. Dan jika kita mempunyai hajat tertentu, adalah menjadi keperluan untuk menyebut Asma'ul Husna kerana Asma'ul Husna adalah sifat yang sampai kepada martabat nama-nama Allah. Orang yang memerhati dan memikirkan nama-nama ini akan merasai kesempurnaan, keagungan dan keindahan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah memiliki 99 nama. Barang siapa yang menghitungnya, pasti akan dimasukkan ke dalam syurga." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menghitung di sini bermaksud berdoa dengan nama-nama ini, memahami dan mengenali kesempurnaan Allah yang Maha Tinggi adalah pengabdian yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT. Islam datang untuk memperbetulkan kefahaman yang salah dalam memahami zat Maha Suci dan membersihkannya daripada pelbagai imaginasi orang jahil. Umat Islam diperintahkan meninggalkan orang yang menyimpang daripada kebenaran dalam menyebut nama-nama Allah.

Orang yang membaca nama-nama ini tidak boleh memahaminya dengan jelas melainkan apabila memahami hakikat alam semesta ciptaan Allah SWT, kehidupan di langit dan di bumi serta memahami kehidupan manusia dalam menuju ke destinasi terakhir iaitu alam akhirat.

Pengetahuan mengenai mengenali Allah SWT tidak akan sempurna jika dipisahkan daripada kerajaan-Nya yang Maha Besar dan tidak memahami kekuasaan-Nya yang Maha Sempurna. Allah memiliki segala-galanya, Dia yang merendahkan dan meninggikan seseorang, Dia juga yang memberi kemenangan dan memberi kekalahan, memuliakan serta menghinakan.

Firman Allah SWT: "Allah jugalah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang seperti yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas `Arasy dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-Nya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jugalah yang mentadbirkan segala urusan Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaan-Nya satu persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan)." (Surah ArRa'd, ayat 2)

Asma'ul Husna

Nabi SAW bertanya kepada sahabat: "Apakah kamu tahu dengan apa dia berdoa? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Demi zat jiwaku yang berada di tangan-Nya, sesungguhnya dia telah memohon kepada Allah SWT dengan menyebut nama-Nya yang Maha Agung yang apabila seseorang berdoa dengan menyebutnya pasti dimakbulkan dan apabila dipohon, pasti akan ditunai oleh-Nya."

Nama Allah SWT yang Maha Agung yang diucapkan seorang hamba lahir dari hati ikhlas adalah doa yang penuh dengan pengharapan dan semangat bersungguh-sungguh memuji kebesaran Allah SWT dengan nama dan sifat-sifat-Nya.

Pendahuluan beberapa perintah

Firmanullah : "Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan belanjakanlah (pada jalan kebajikan) sebahagian dari harta benda (pemberian Allah) yang dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan (sebahagian dari harta itu pada jalan Allah); mereka tetap beroleh pahala yang besar." (Surah al-Hadid, ayat 7)

Beramal dengan Asma'ul Husna dengan cara menzahirkannya dalam bentuk akhlak dan kelakuan pada setiap masa. Siapakah yang lebih berhak untuk diimani, tentulah Dia Tuhan yang Maha Awal, yang Maha Akhir, yang Maha Zahir dan Maha Batin.

Asma'ul Husna tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan seharian. Ia bukan sekadar kalimat yang digunakan untuk berdoa semata-mata, tetapi hendaklah difahami, dihayati dan diamalkan bagi membentuk peribadi yang sentiasa dekat dengan Maha Pencipta.

No comments:

Post a Comment