HADIS DUA (2)

Hadis : “Siapa yang mengenali dirinya maka dia mengenali Allah” ?

Matan : Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang kenal dirinya maka dia telah mengenal Allah”.

Pendapat Ulama Berkaitan Hadith Ini

Antara pendapat para ulama’ berkaitan hadith ini:

Imam al-Saghani menyatakan ia bukan daripada Rasulullah SAW. [Lihat: al-Maudhu’at, 35]

Imam al-Suyuthi mengatakan hadith ini bathil dan tidak sahih. [Lihat: al-Tadrib al-Rawi, 2/167]

Imam al-Zurqani mengatakan ia bukan hadith. [Lihat: Mukhtasar al-Maqasid, 1052]

Syeikh Mulla Ali al-Qari menilai hadith ini sebagai tiada asal baginya. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 337]

Setelah melihat dan menekuni pendapat para ulama’ dalam menilai hadith ini, maka ulama berpendapat bahawa hadith ini adalah palsu dan tiada asal baginya. Dengan itu, kita sama sekali tidak boleh menyebarkannya kepada orang lain melainkan bagi menyatakan akan kepalsuannya.

Akan tetapi di dalam nas ilahi, Allah SWT menuntut hamba-hambanya untuk sentiasa melihat dan berfikir dengan apa yang terdapat pada diri mereka. Ini dapat dilihat berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?”. [al-Zariyat:21]

Menurut Imam al-Thabari, makna “pada diri kamu” adalah wahai sekalian manusia pada diri kamu itu terdapat tanda dan pengajaran yang menunjukkan akan keesaan (kebesaran) Penciptamu. Selain itu, sesungguhnya tiada Tuhan bagimu selain daripada-Nya dan tidak ada sesuatu yang dapat menandingi ciptaan-Nya sebagaimana kamu (diciptakan). Manakala makna “tidakkah engkau melihatnya” bermaksud tidakkah engkau melihat padanya (penciptaanmu) lalu engkau berfikir akannya maka engkau mengetahui akan hakikat keesaan (kebesaran) Penciptamu iaitu Allah SWT. [Lihat: Tafsir al-Thabari, 21/519]

Diskusi : 

Kesimpulannya, antara yang dapat difahami daripada makna hadith ini adalah kita sebagai umat Islam dituntut agar sentiasa berfikir dengan setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Di samping itu juga, kita dituntut agar sentiasa memuji Allah SWT setiap kali melihat kebesaran ciptaan-Nya. Dengan cara itu, ia akan membawa kita kepada mengtauhidkan Allah SWT dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu.

No comments:

Post a Comment