Tarekat Tasawuf

Tarekat Tasawuf ertinya suatu himpunan amalan yang disusun secara khusus oleh suatu kumpulan ahli tasawuf untuk diamalkan bagi memperoleh kebersihan zahir dan batin selaras dengan tuntutan tasawuf bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mencapai keredhaanNya.

Kumpulan ahli tarekat tasawuf pula mempunyai silsilah yang bererti mereka mempunyai suatu rangkaian para syeikh yang sah serta bersambungan sanad mereka terus sehingga Nabi Muhammad SAW . Yang dimaksudkan dengan syeikh ialah pemimpin suatu tarekat tasawuf, tidak kira apa jua gelarannya, dan ini termasuklah orang yang dipertanggungjawabkan oleh syeikh . 

Asal Usul Tarekat Tasawuf

Definisi tarekat tasawuf ini timbul sebagaimana wujudnya definisi ilmu. Ianya hanya terbit selepas pesatnya perkembangan ilmu Islam, cabang-cabang dan rangkaiannya. Tasawwuf dan perkembangannya berjalan seiringan dengan Islam kerana ia umpama intipati dan hakikat sebenar Islam.

Tasawwuf adalah menepati maqam ihsan berdasarkan hadis sahih:

Daripada Saidina Umar RA beliau berkata, “Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang sangat putih bajunya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan jauh dan tiada seorangpun di antara kami yang mengenalinya sehingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW.

Lalu dia merapatkan lututnya ke lutut Rasulullah SAW dan meletakkan dua tapak tanganya di atas dua peha Rasulullah SAW lantas berkata, “Wahai Muhammad! Ceritakan kepadaku tentang Islam. Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Islam itu ialah kamu menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, kamu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji jika kamu mampu mengerjakannya. Lelaki itu berkata, benarlah kamu! Kami merasa hairan terhadapnya, dia bertanya dan dia juga yang membenarkannya.

Lelaki itu berkata lagi, ceritakan kepadaku tentang iman. Baginda SAW bersabda, bahawa kamu beriman dengan Allah, para malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari Qiamat dan kamu beriman dengan Qadar baik dan buruk-Nya. Lelaki itu berkata, Benarlah kamu!

Dia berkata lagi, ceritakan kepadaku tentang ihsan. Baginda SAW menjawab, bahawa kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Allah melihat kamu”.

Lelaki itu berkata lagi, ceritakan kepadaku tentang qiamat. Baginda menjawab: “Tidaklah orang yang ditanya mengenainya (Qiamat) lebih mengetahui daripada orang yang bertanya (maksudnya kedua-duanya tidak mengetahui tentang bila berlaku Qiamat).

Lelaki itu berkata lagi; ceritakan kepadaku tentang tanda-tandanya. Baginda menjawab, apabila hamba perempuan melahirkan tuannya dan apabila kamu melihat orang yang tidak berkasut, tidak berbaju, miskin dan pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan. Kemudian lelaki itu pun pergi.

Maka akupun menunggu beberapa ketika. Kemudian Rasulullah SAW berkata, wahai Umar! Tahukah kamu siapakah orang yang bertanya itu? Aku menjawab, Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Sabda Rasulullah SAW, sesungguhnya dia adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar kamu tentang agama kamu”. (HR Bukhari, Muslim, Nasaie, Ibnu Majah dan Ahmad)


Hadith ini menjelaskan tentang penetapan rukun dalam agama Islam. Berikut diterangkan, ketiga-tiga rukun agama tersebut:

1. Rukun Islam

Berhubung dengan aspek amalan iaitu amal ibadat, mu’amalat dan perkara-perkara yang bersangkutan dengan pengabdian (ubudiyyah) kepada Allah yang dilakukan oleh anggota jasad yang zahir. Ulama’ telah mengistilahkannya sebagai syariat. Ahli profesional bidang ini terdiri dari kalangan penghulu ahli Feqah.

2. Rukun Iman

Berkaitan dengan aspek i’tiqad hati iaitu beriman dengan Allah, para Malaikat, Kitab-Kitab, Rasul-Rasul, Hari Akhirat, Qadha’ dan Qadar. Ahli profesional dalam bidang ini ialah penghulu ulamak Tauhid.

3. Rukun Ihsan


Berkaitan dengan aspek roh hati, iaitu: Kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, maka sekiranya kamu tidak melihatNya, maka Allah memandang kamu.

Dari sini, dapat difahami bahawa Ihsan mengandungi dua maqam; iaitu maqam muraqabah dan maqam musyahadah. Di dalam hadith di atas, maqam musyahadah (kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatNya, maka Allah memandang kamu). Ini menunjukkan ketinggian dan kemuliaan maqam musyahadah melebihi maqam muraqabah.

Menghidupkan Semangat Muhasabah Diri

Maqam-maqam Ihsan di dalam hadis inilah yang menjadi perhatian dan diterjemahkan secara praktikal oleh golongan tasawwuf. Ini kerana tasawwuf menghidupkan semangat muhasabah diri di dalam jiwa setiap manusia sehinggalah mereka dapat beramal dengan ikhlas kerana Allah. Semangat muhasabah diri ini difahami daripada ayat al-Quran berikut:

Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah an-Nahl : 128)

Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya. (Surah al-Kahfi: 30)

(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah al-Baqarah: 112)

Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan. (Surah al-Luqman : 22) 


No comments:

Post a Comment