Saya mengharapkan tausiyyah ini sampai kepada maksudnya dan dapat difahami secara global. Semoga penulisan ini sedikit sebanyak dapat menyelesaikan jawapan yang berlegar dalam ufuk minda kita. Tarekat ialah maksudnya perjalanan menuju kepada Allah, ia lebih kepada perjalanan hati dalam menuju makrifatullah dan mardhatillah.
Dinyatakan di sini beberapa takrif berkenaan dengan tarekat:
1. Tarekat ialah perjalanan yang khusus bagi ahli suluk.
2. Tarekat ialah perjalanan yang khusus oleh ahlinya dalam menuju kepada Allah.
3. Tarekat ialah jalan atau suluk syariah, iaitu beramal dengan segala tuntutannya.
4. Ia merupakan jalan menyampaikan ke syurga. Ia adalah lebih khusus daripada syariah kerana terangkum padanya hukum-hukum syariat daripada amalan soleh.
Tarekat Islam dan Tasawuf Islam
Tarekat yang berjalan dengan berpegang dan pengajarannya daripada al-Quran dan Sunnah secara langsung, membentuk gambaran iman, ilmu dan amalan soleh. Tanpa sebarang perantaraan organisasi secara berjemaah dan tanpa ketua(Sheikh) ia tidak dapat dilaksanakan. Seorang sheikh hendaklah berasal dari keturunan Sahabat Nabi, tawaduk, keilmuannya diiktiraf dan dipilih dan bukannya mengaku.
Hukum Mempelajari Tasawuf dan Bertarekat
Imam al-Ghazali berkata: “Hukumnya fardhu ain kerana manusia tidak sunyi daripada aib atau sakit kecuali para anbiya’.” Syeikh al-Syazili berkata: Siapa yang tidak menceburi ilmu kita ini, nescaya dia mati dalam dosa besar yang tidak disedarinya.” Syeikh Dahlan al-Kadiri di dalam kitabnya Siraj al-Talibin menyatakan bahawa hukum belajar tasawuf ialah wajib ai ini pada setiap orang mukallaf. Hal ini kerana sebagaimana wajib islah yang zahir, begitu juga islah yang batin.
Tarekat Yang Sebenarnya
Sesungguhnya berpegang dengan kitab Allah dan sunnah Rasulullah merupakan jalan mustaqim yang Allah perintahkan kita mengikutinya. Ini membawa kejayaan di dunia dan di akhirat. Setiap tarekat yang sejahtera hanya menyeru kepada beriltizam dengan kitab dan dan sunnah, sedangkan tarekat yang menyeleweng daripada itu akan membawa kepada kerosakan, sesat lagi menyesatkan. Tarekat yang sebenarnya yang diambil sumbernya mengikut perjalanan kehidupan Rasulullah SAW, para sahabat, tabi’in dan salafussoleh.
Tarekat-tarekat semuanya ditutup dari kenyataan makhluk kecuali orang-orang mengikut athar sunnah Rasulullah SAW. Katanya lagi, sesiapa yang tidak menghafal al-Quran dan menulis hadith dia tidak boleh diikuti dalam hal tasawuf ini kerana pengetahuan kita ini berkait dengan al-Quran dan terikat dengan Sunnah.
Sifat Tarekat Dalam Islam
Ilmu Syeikh Abdul Qadir al-Jailani kepada anaknya:
Adalah menjadi suatu kewajipan ke atas kamu bertaqwa kepada Allah dan mentaati-Nya, kamu sekali-kali tidak boleh takut dan mengharapkan kepada orang lain, semua keperluan hendaklah ditujukan kepada Allah sahaja.
Gesaan supaya berpengang dengan syariah.
Aqidah dan pegangan orang-orang mukmin.
Gesaan supaya selalu berdoa kepada Allah.
Fana’.
Taqarrub kepada Allah SWT.
Pertalian antara dunia dan akhirat.
Jiwa dan hal-halnya.
Ujian dan cubaan.
Wali dan jalannya.
Akhlak yang luhur.
Secara mafhumnya adalah menghampirkan diri kepada Allah bagi mencapai keredhaan-Nya dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Tajuk seperti ini amat perlu dicermati supaya dalam diri kita supaya sentiasa terpimpin dalam keredhaan Allah. Keinsafan kedalam diri kita untuk berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar dan selamat daripada sebarang penyelewengan.
Marilah kita menginsafi diri ini untuk mendalami dan memahami sesuatu ilmu seperti tarekat dan tasawuf yang berasaskan al-Kitab dan Sunnah seperti yang diamalkan oleh mereka yang terdahulu lagi seperti Syeikh Qadir Jailani, Junaid al-Baghdadi, Fudhail bin Iyadh dan lain-lain agar kita benar-benar di atas jalan yang diredhai Allah. Semoga pencerahan ini bermanfaat.
Selamat beramal.
No comments:
Post a Comment